Dalam adat
atau majlis pertunangan mahupun perkahwinan Melayu, membawa serta membalas
barang hantaran, adalah satu kemestian antara kedua-dua belah pihak lelaki dan
perempuan. Selain memenuhi adat tradisi dan syarat untuk mengikat dua hati yang
ingin disatukan, berbalas-balas dulang hantaran antara kedua-dua pihak itu
turut dianggap sebagai simbolik untuk mengukuhkan lagi perhubungan yang
terjalin.
Barang
hantaran adalah hadiah yang berupa wang atau mas kahwin dan biasanya diiringi
barang lain seperti manisan, buah-buahan dan pakaian. Lebih unik dan istimewa,
setiap barang hantaran itu akan digubah cantik serta penuh daya kreativiti
sebelum diletakkan di atas dulang yang beralas cantik dan dihiasi indah.
Tiada had
dalam menetap jumlah barang hantaran, tetapi kebiasaannya pihak perempuan akan
menambah dua dulang lebih daripada pihak lelaki. Misalnya, jika pihak lelaki
membawa tujuh dulang, pihak perempuan pula mestilah membalasnya dengan sembilan
dulang.
Perunding
dan penggubah barang hantaran perkahwinan, Rose Sury’s dari Kota Seriemas,
Nilai, Negeri Sembilan, Rosuri Abas, berkata pada masa kini membawa dan
membalas barang hantaran bukan saja bertujuan melengkapkan adat budaya, tetapi
juga menyerikan lagi acara yang dilangsungkan sama ada majlis pertunangan atau
pun perkahwinan.
Beliau
berkata, bersesuaian dengan arus perubahan moden, pemberian barang hantaran
antara kedua-dua belah pihak pada masa kini tidaklah terlalu terikat dengan
syarat dan adat yang telah ditetapkan sebelum ini. Sebaliknya, apa yang lebih
penting kedua-dua belah pihak perlu saling muafakat dan berusaha memenuhi hati
masing-masing ketika membawa dan membalas barang hantaran berkenaan.
“Jika dulu,
pasangan sering ditekankan tidak membawa dan memberi barang hantaran dalam
jumlah yang genap. Tetapi kini, soal jumlah genap atau ganjil bukan persoalan
besar bagi kebanyakan pasangan. Begitu juga tambahan dua dulang lebih yang
perlu diberikan pihak perempuan kepada pihak lelaki tidak lagi menjadi syarat
utama.
“Sebab
itulah kadang-kadang kita lihat hari ini, dulang hantaran yang diberi dan
dibalas, sama banyak antara pihak perempuan dan lelaki. Mungkin ia lebih adil
dan dapat memuaskan hati kepada kedua-dua belah pihak,” katanya.
Rosuri yang
sudah 10 tahun menggubah hantaran dan menawarkan perkhidmatan tempahan membuat
gubahan berkata, hari ini antara barang hantaran wajib daripada pihak lelaki
kepada perempuan biasanya adalah hantaran wang mas kahwin, telekung dan
sejadah, alat solek, manisan serta pakaian.
Bagi pihak
wanita kepada lelaki pula, barang hantaran yang dibalas tidak jauh bezanya
kecuali tiada wang mas kahwin diberikan.
Mengenai
gaya gubahan katanya, pada masa kini kebanyakan pasangan lebih senang menempah
rekaan hantaran yang ringkas, tetapi mampu menonjolkan daya kreativiti. Gubahan
gaya ringkas itu khususnya yang membabitkan seni rekaan melipat seperti
telekung, sejadah dan tuala.
“Dulu barang
hantaran seumpama itu digubah menjadi pelbagai bentuk seperti buah-buahan,
bunga, masjid, menara dan sebagainya. Tetapi kini kebanyakan pasangan lebih
gemar gubahan yang mampu menonjolkan gaya korporat dan abstrak. Untuk itu, seni
lipatan bukan menjadi keutamaan,” katanya.
Perbezaan
ketara lain dalam pemberian barang hantaran ialah amalan berdasarkan tema
perkahwinan yang sudah ditetapkan. Misalnya, jika tema yang dipilih mewajibkan
rona merah jambu, maka barang hantaran juga perlulah digubah menggunakan warna
demikian.
Rosuri
berkata, selain tema yang menekankan pilihan warna, ada juga yang pasangan
menetapkan konsep tertentu untuk rekaan gubahan hantaran seperti tradisional,
nusantara, Victoria dan juga gaya Inggeris.
Pilihan
mengikut konsep dan warna sememangnya ada kelebihan dan keistimewaan tersendiri
kerana ia lebih teratur, tampak seragam dan menyerlahkan lagi hantaran.
Misalnya,
jika memilih gaya Inggeris sudah tentu gubahan hantaran lebih memperlihatkan
warna lembut dan segar. Begitu juga dengan gaya nusantara, akan memperlihatkan
gubahan bercirikan klasik dan semula jadi.
“Namun,
untuk menepati pemberian barang hantaran pihak lelaki kepada wanita, gubahan
dan barangan dipilih perlulah mengambil kira beberapa aspek tertentu termasuk,
dari segi warna, gaya rekaan dan penggunaan bahan lain seperti reben dan renda
yang boleh membangkitkan keindahan rekaan gubahan.
“Jika
daripada pihak lelaki kepada wanita barang hantaran yang diberi perlulah
menonjolkan gaya feminin yang menepati jiwa orang menerimanya dan begitulah
sebaliknya. Untuk itu, pihak lelaki bolehlah memilih warna sesuai seperti merah
jambu, krim dan ungu. Penggunaan renda dan riben memang sesuai sekali untuk
melambangkan kelembutan jiwa nurani wanita.
“Untuk
memberi pihak lelaki pula, pihak wanita pula memilih gaya maskulin dan warna
paling sesuai untuk barang yang ingin dijadikan hadiah ialah warna bumi, biru
dan ungu gelap. Seandainya, kedua-dua pihak inginkan rona barang hantaran yang
sama, pastikan warna muda adalah untuk wanita, manakala pihak lelaki menerima
warna tua,” katanya.
Beliau
berkata, dulu kerja menggubah barang hantaran dibuat secara beramai-ramai bagi
mengeratkan tali persaudaraan, tetapi kesibukan masa menyebabkan kebanyakan
pasangan hari ini lebih suka menempah dan mengupah individu yang mahir
membuatnya. Malah, ada yang menyerahkan bulat-bulat kepada perancang
perkahwinan untuk menyediakannya kerana tidak mahu fikiran berserabut menjelang
hari bahagia, di samping ketiadaan peralatan dan kelengkapan seperti dulang
serta alas bagi memastikan barang hantaran tampak sempurna.
Harga
tempahan untuk menggubah barang hantaran pula berbeza-beza dan biasanya ia
berdasarkan bahan yang digunakan. Bayaran dikenakan adalah mengikut jumlah
dulang barang hantaran dan kebanyakan penggubah mengenakan harga serendah RM40
untuk satu dulang.
Pemberian
barang hantaran mengikut adat Melayu
· Pada zaman
silam ketika adat menghantar tanda dan adat menghantar mas kahwin dan belanja
dilakukan oleh pihak lelaki, biasanya dibawa bersama cincin emas atau berlian.
Tanda itu biasanya diiringi oleh hadiah yang lain kepada bakal pengantin
perempuan, seperti kain, sarung, selipar atau kasut, gula-gula, buah-buahan,
dan sebagainya.
· Penghantaran
tanda biasanya disertai dengan majlis kenduri oleh kedua-dua keluarga.
Sesetengah orang juga menyampaikan cincin dan hadiah yang lain dengan cara
mengadakan perarakan ke rumah bakal pengantin perempuan.
· Penerimaan
cincin dan hadiah iringan secara tradisi bermaksud, penerimaan syarat
perkahwinan yang berikut antara kedua-dua pihak;
· Jika lelaki
itu, atas apa-apa alasan, gagal untuk mengahwini anak perempuan yang
ditunangkan, cincin pertunangan serta hadiah yang lain tidak boleh dituntut
balik.
· Jika perempuan
itu, atas apa-apa alasan kecuali kematiannya, gagal memenuhi tujuan pertunangan
itu, maka semua hadiah, termasuk cincin pertunangan, harus dikembalikan kepada
lelaki pada kadar sekali ganda, baik dari segi bilangan atau nilainya.
· Di antara
barang yang termasuk dalam kategori wajib bagi melengkapkan sesuatu hantaran
adalah seperti berikut, dan hantaran tersebut akan turut sama diarak dengan
mempelai sebelum bersanding.
· Wang mas
kahwin dan belanja (ada yang menyerahkan wang mas kahwin itu terus ke tangan
isteri selepas selesai upacara akad nikah) yang diletakkan di dalam dulang atau
batil bertudung diperbuat daripada perak atau tembaga putih.
· Sebentuk
cincin permata berbatu intan atau ber1ian yang diletakkan di dalam cembul atau
kotak perak.
· 2 pasang kain
dan sehelai baju dari jenis yang cukup baik dan berkualiti, dilipat di dalam
talam perak atau tembaga putih bertudung.
· Beberapa jenis
kuih juadah, yang setiap satunya diletak di dalam sebuah pinggan besar
bertudung dan dihias beralaskan talam.
· Beberapa jenis
buah-buahan yang segar disusun di dalam bekas atau talam ditudung.
· Tepak sirih
atau puan perak atau tembaga putih yang diisi lengkap.
· Satu atau dua perecik atau perenjis air mawar
dan dua kaki dian atan lilin.
/
BalasHapus